Blog ni dibuat khas untuk tatapan serta panduan untuk bakal-bakal ibu muda membuat persiapan menjelang kehamilan,kelahiran serta semasa menjalani pantang

Isnin, 22 Februari 2010

Bayi Yang Baru Dilahirkan


Bayi anda mungkin kelihatan sangat berlainan daripada apa yang anda jangkakan. Dia mungkin akan kelihatan lebih kecil dan sangat mudah cedera. Bentuk kepalanya mungkin agak ganjil, dan dia mungkin dilitupi dengan bahan berminyak putih yang dipanggil verniks. Sistem badannya masih belum berfungsi dengan berkesan. Oleh itu, anda akan melihat bintik, tompok dan perubahan warna, yang merupakan perkara biasa. Bertanyalah kepada doktor atau bidan anda jika ada sebarang perkara yang merisaukan anda.

Mereka akan menenangkan kerisauan anda. Anda mungkin berasa sayang akan bayi anda dengan serta merta. Akan tetapi, jika pada mulanya, anda tidak mempunyai perasaan sayang yang kuat padanya, berilah masa kepada diri sendiri. Apabila anda mulai mengenali bayi anda, menjaga dan mendakapnya, dan apabila anda mendapati dia bertindak balas terhadap anda dan tenang oleh suara anda, perasaan sayang akan bertambah secara semulajadi.

Tanggapan Pertama
Jangan berasa kesal sekiranya bayi anda tidak kelihatan sempurna, segelintir bayi sahaja yang sempurna ketika dilahirkan. Anda mungkin melihat beberapa tanda merah dan cemar atau kejanggalan lain, tetapi kebanyakkan akan hilang menjelang usia bayi kira-kira 2 minggu.

Kepala
Bentuk yang ganjil biasanya disebabkan tekanan kelahiran. Kepalanya akan kelihatan normal dalam masa 2 minggu. Di bahagian atas kepalanya terdapat tompok lembut (fontanel). Di sini tulang tengkoraknya belum lagi bersambung. Tulang ini sepatutnya bercantum apabila anak berusia 18 bulan.

Mata

Berwarna kehitam-hitaman bagi masyarakat Asia. Warna matanya yang sebenar mungkin belum berkembang sehingga bayi berumur kira-kira 6 bulan. Kelopak mata yang membengkak biasanya disebabkan oleh tekanan kelahiran. Akan tetapi, minta Doktor atau Bidan memeriksa mata bayi anda kerana ada kalanya terdapat jangkitan.

Mata yang juling adalah perkara biasa. Bayi mungkin ada kalanya kelihatan juling pada bulan-bulan pertama.

Lidah
Mungkin kelihatan tersauh pada lantai mulut. Oleh itu, hujung lidahnya kelihatan bercabang sedikit apabila bayi menjulurkan lidahnya keluar. Hujung lidahnya akan tumbuh ke hadapan pada tahun pertama.

Tangan Dan Kaki
Mungkin berwarna kebiruan kerana peredaran darahnya masih belum berfungsi dengan sempurna. Jika anda mengalihkan bayi anda ke kedudukan lain, warna ini sepatutnya bertukar menjadi merah jambu. Kuku bayi biasanya panjang ketika dilahirkan. Gigit kuku ini supaya pendek, jangan dipotong. Kaki bayi biasanya kelihatan pengkar kerana dia mengerekot sepanjang di dalam rahim

Buah Dada
Buah dada bayi mungkin membengkak malahan mengeluarkan sedikit susu. Ini merupakan perkara biasa bagi kedua-dua jantina. Bengkak ini sepatutnya susut dalam jangka masa 2 hari. Jangan picit keluar susu itu.

Kemaluan

Kemaluan kelihatan besar bagi kedua-dua jantina. Bagi perempuan, mungkin terdapat lelehan dari farajnya. Ini disebabkan oleh hormon ibunya dan akan hilang tidak lama kemudian. Zakar bayi lelaki biasanya tertarik ke atas groinnya. Sekiranya anda bimbang, berjumpalah dengan doktor anda.

Kulit
Bintik dan ruam merupakan tanda biasa, dan sepatutnya hilang dengan sendirinya. Kulit mengelupas terutamanya pada bahagian tangan dan kaki. Ini sepatutnya hilang dalam masa beberapa hari. Bulu roma halus mungkin ketara, terutamanya jika bayi dilahirkan awal. Bulu ini tanggal dalam masa 2 minggu.

Verniks putih berminyak merupakan bahan yang melindungi kulit di dalam rahim, dan mungkin menutupi seluruh badan bayi. Bahan ini boleh dilap dengan mudah.

Tanda lahir biasanya hilang. Ini termasuklah:

Tanda Merah (gigitan burung bangau). Biasanya terdapat pada kelopak mata, dahi, dan pada belakang leher. Tanda ini mengambil satu tahun untuk hilang.

Tanda lahir strawberi yang boleh membimbangkan anda kerana saiznya yang perlahan-lahan semakin besar. Tanda ini hilang apabila anak anda mencapai usia 5 tahun.

Tompok biru tompok biru mongolia). Biasanya ditemui pada bahagian bawah belakang bayi yang mempunyai kulit gelap .

Cemar wain arak, tanda merah cerah atau ungu yang kekal.


Tinja
Ketika dilahirkan, usus bayi mengandungi bahan gelap dan melekit, dipanggil mekonium. Sebaik sahaja bayi mula makan, tinjanya berubah warna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan